Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilantik Ketua Polis Johor yang baharu

MOHAMAD Fuzi (tengah) menyaksikan majlis penyerahan tongkat kuasa ketua polis Johor daripada Wan Najmuddin kepada Mohd Khalil Kader (kanan) ketika majlis Serah Terima Tugas, Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. – Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU – Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, memulakan tugas sebagai Ketua Polis Johor yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas itu daripada Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang hampir dua tahun memegang jawatan itu sejak 1 Disember 2015. Wan Ahmad Najmuddin bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman sebagai pengarah yang baharu.

Mohd Khalil memegang jawatan Setiausaha PDRM Bukit Aman sejak Februari 2016.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Dewan Dato’ Onn di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini dan disaksikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Pada majlis sama, turut diadakan upacara serah tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor antara Datin Seri Musalma Mohd Saman dengan Datin Radziah Zakaria yang turut disaksikan Mohamad Fuzi.

Mohd Khalil ketika ditemui melahirkan penghargaan apabila diberi kepercayaan memegang tampuk kepimpinan Polis Kontinjen Johor dan berjanji melakukan yang terbaik dalam memelihara ketenteraman awam di negeri ini.

“Strategi sedia ada akan diteruskan supaya dapat terus memelihara keselamatan di Johor,” katanya. – Berita Harian