
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor melalui Pertubuhan Ihsan Johor akan membina sebanyak 30 unit Rumah Ihsan Johor bagi golongan yang memerlukan di negeri ini pada tahun depan. Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata berikutan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyumbang kepada pertubuhan berkenaan bagi tujuan itu.
“Kita yakin tanggungjawab ini boleh disempurnakan oleh Pertubuhan Ihsan Johor.
“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyumbang bagi membina 20 buah rumah. Beberapa buah rumah telah pun dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Ihsan Johor (Ihsan Johor) di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Dato’ Zulkurnain Kamisan; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Presiden Pertubuhan Ihsan Johor, Suhaimi Salleh.
Pada majlis sama, Kerajaan Johor turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500,000 bagi pembinaan Rumah Ihsan Johor yang disampaikan oleh Azmi kepada Mohamed Khaled yang juga penaung dan pengasas Ihsan Johor.
Setakat ini, Ihsan Johor berjaya mengumpul dana berjumlah kira-kira RM1.5 juta yang disumbangkan oleh pelbagai pihak. Ihsan Johor yang ditubuhkan pada 31 Mei 2016 ialah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kemanusiaan, kesukarelawanan dan kebajikan.
NGO ini mempunyai empat kluster iaitu Rumah Ihsan Johor, Dapur Ihsan Johor, Projek Sekolah Ihsan Johor dan Skuad Ihsan Johor. Rumah Ihsan Johor bertujuan menyediakan kehidupan lebih baik kepada golongan memerlukan seperti membina rumah dan membaik pulih rumah dengan membabitkan tenaga sukarelawanan.
Selain itu, Dapur Ihsan Johor disasarkan untuk memberi makan kepada gelandangan dan miskin bandar dengan makanan berkhasiat, selain menjadi platform kepada sukarelawan untuk membantu dalam pelbagai bidang seperti penjagaan kesihatan, perkhidmatan kaunseling dan peluang kerjaya.
Projek Sekolah Ihsan Johor pula memberi tumpuan kepada kepentingan pendidikan rasmi dan tidak rasmi dalam komuniti, termasuk menyediakan sokongan sosial dan emosi kepada penerima manfaat.
Dalam pada itu, Skuad Ihsan Johor berfungsi sebagai pasukan tindak balas yang berfungsi ketika bencana alam, selain sebagai pasukan sokongan bantuan kecemasan. – Jauhar








