PRNJohor: Enakmen Anti Lompat Parti tumpuan BN Johor

JOHOR BAHRU: Persempadanan semula kawasan pilihan raya serta menyegerakan Enakmen Anti Lompat Parti akan menjadi agenda utama Barisan Nasional (BN) jika mendapat mandat dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tumpuan itu mengambil kira kedudukan dua agenda transformasi politik terbabit yang dianggap penting bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini.

“Saya akan usahakan supaya Enakmen Anti Lompat Parti menjadi agenda pertama, sebaik dapat mandat dua pertiga dan mengambil alih kepemimpinan negeri.

“Bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan semua 56 wakil rakyat pula, jika mendapat mandat dua pertiga rakyat Johor saya akan cadangkan persempadanan baharu bagi kawasan yang terlalu ramai pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas pelancaran Ikhtiar BN Johor, di sini, hari ini.

Mengulas persempadanan semula, Hasni berkata ia perlu dilihat supaya perkhidmatan wakil rakyat sampai kepada rakyat setempat.

“Jika satu Dewan Undangan Negeri (DUN) ada 100,000 rakyat, ia mustahil dapat ditanggung seorang wakil rakyat,” katanya.

Mengenai Ikhtiar BN Johor yang meneruskan inisiatif pemberian elaun kepada semua 56 wakil rakyat termasuk daripada pembangkang, Hasni berkata, langkah itu sebagai jaminan hak wakil rakyat dipilih tanpa mengira mereka mewakili kerajaan atau pembangkang.

“Asasnya harus sama. Wakil rakyat perlu menerima elaun yang sama, tidak kiralah kerajaan atau pembangkang.

“Sewajarnya peruntukan untuk projek kecil harus disalurkan kepada semua 56 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tanpa terkecuali tidak kira latar belakang mereka daripada mana,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor berkata, Ikhtiar BN Johor bukan janji kosong, sebaliknya inisiatif kesungguhan parti itu kepada rakyat Johor.

“Jika BN diberi mandat dua pertiga, kita tak akan berlengah dalam memikul tugas dan melaksana amanah diberi rakyat pada wakil rakyat yang dipilih.

“Semuanya (Ikhtiar BN Johor) telah tersedia, programnya sudah tersusun, bidang dan sektor yang harus diberi tumpuan sudah dikenal pasti dengan kepakaran sudah dibentuk dan hanya menunggu kerajaan baharu terbentuk untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Hasni berkata, 22 bulan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Johor, banyak perkara yang dilakukan gabungan itu menjadikan Johor terbelakang.

Katanya, ia termasuk Johor kehilangan kedaulatan Batu Puteh yang diserah kepada Singapura, selain ekonomi tidak dapat berjalan lancar kerana Perdana Menteri ketika itu mengambil pendirian tidak mahu berjumpa Perdana Menteri Singapura.

“Projek perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang penting kepada Johor juga dibatalkan. Banyak perkara yang merencatkan perancangan yang sepatutnya membawa Johor ini kepada satu kedudukan yang bukan sahaja lebih makmur dan maju, malah dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Maka itu, selepas dua tahun saya dalam kerajaan adalah untuk menyegerakan proses pembangunan negeri dan jika BN diberi mandat dua pertiga, kita akan bangunkan ekonomi Johor mengulangi kegemilangan sebelum ini,” katanya.

,