Onn Hafiz mula tugas sebagai Menteri Besar

Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi memulakan tugasnya secara rasmi di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini. Kenderaan membawa Menteri Besar Johor ke-19 itu tiba di pekarangan bangunan dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azmi Rohani. Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.

Upacara ringkas kemudian dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri. Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasminya di pejabat Menteri Besar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengikut jejak langkah tradisi keluarganya dan meneruskan legasi selepas dilantik Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene petang semalam. Beliau merupakan piut kepada Dato’ Jaafar Muhammad yang juga merupakan Menteri Besar Johor pertama, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar yang juga pernah menjawat Menteri Besar ke-7.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu, Onn Hafiz berjaya memenangi kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi. Barisan Nasional memenangi PRN Johor dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti, memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Foto-Muhammad-Saufee-BERNAMA

, , , ,