PRNJohor: Dr. Maszlee Calon Menteri Besar Johor dari PH?

Beberapa media hari ini melaporkan, bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik antara yang disebut-sebut antara calon Menteri Besar Johor seandainya PH menang PRN berkenaan, selain Ahli Parlimen Pulai merangkap Timbalan Presiden AMANAH yang juga penyandang kerusi DUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Walaubagaimana, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, mesyuarat yang diadakan hari ini hanya memfokuskan mengenai agihan kerusi untuk ditandingi PH dan tidak menyentuh mengenai calon Menteri Besar mewakili pakatan itu jika menang PRN Johor. Dr. Maszlee Malik yang kini merupakan Ahli PKR dilihat antara calon berkaliber dan paling sesuai bagi memegang jawatan tersebut.

PKR akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logonya sendiri, manakala dua sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menggunakan logo gabungan parti pembangkang berkenaan.

Anwar Ibrahim, berkata perbincangan pakatan pembangkang berhubung pengagihan kerusi juga sudah selesai dan PH akan bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), namun terbuka untuk perbincangan dengan parti pembangkang lain di luar gabungan terbabit.

“Logo kita sudah putuskan yang Keadilan (PKR) guna logo Keadilan (PKR), yang lain-lain guna logo PH. Perbincangan kerusi antara PH juga sudah selesai. Yang penting kita bertanding di semua 56 kerusi oleh ketiga-tiga parti (komponen) PH, tapi kita masih buka ruang bincang dengan parti pembangkang lain termasuk MUDA,” katanya yang juga Presiden PKR ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PH berhubung PRN Johor di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Ditanya jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada MUDA jika parti diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu setuju untuk bekerjasama dengan PH, Anwar berkata, hal itu akan diputuskan kemudian selepas perbincangan dibuat. Mengenai kemungkinan penyertaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam kerjasama dengan PH pada PRN Johor, Anwar berkata, pihaknya mahu semua parti pembangkang bersatu dan bekerjasama.

, ,