Laksana PKPD di Ladang Sungai Kahang di Johor akibat kluster tempat kerja

Penduduk Ladang Sungai Kahang dalam Daerah Kluang, Johor antara lima lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai lusa hingga 2 September ini.

Kawasan estet pertanian kelapa sawit itu diwartakan PKPD susulan 70 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan bersasar kluster tempat kerja yang melibatkan pekerja kilang di situ.

Kluster itu diwartakan pada 9 Ogos lalu ekoran ujian saringan membabitkan 430 pekerja, namun tiada kaitan dua lagi kluster baharu di daerah tersebut yang diumumkan tarikh sama.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, empat lagi lokaliti ialah di Sabah iaitu Kampung Tanjung Pagar, Sipitang; Kampung Jawa, Tawau; Kampung Padang Tembak, Keningau dan setinggan Kampung Baru Luyang, Penampang.

“Sejumlah 15 lokaliti di empat negeri berbeza ditamatkan PKPD secara serentak pada esok dengan tiga darinya itu berakhir awal daripada tarikh dijadualkan MKN.

“Kesemuanya terletak di Kelantan iaitu Kampung Bukit Merbau dan Kampung Baru Pupoh dalam Jajahan Pasir Puteh serta Kampung Wek Batu 23, Labok dalam Jajahan Machang; selain Taman Sri Kebakat dalam Jajahan Tumpat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Johor, cuma satu lokaliti ditamatkan PKPD iaitu Taman Puteri, Kluang manakala di Perak pula lima lokaliti antaranya Kampung Belum Baru, Hulu Perak dan Kampung Menteri, Kuala Sepetang serta tiga lagi melibatkan dua kilang sarung tangan getah syarikat Comfort Rubber Glove di Matang dan Simpang serta asrama pekerjanya di Hujung Matang, Larut Matang, Selama.

Selebihnya di Sabah iaitu Kampung Kuala Mengalong, Sipitang; Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri, Kunak serta Kampung Tanjung Aru Lama dan University Apartment 1, Kota Kinabalu.

,