Ismail Sabri angkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9 esok

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu. Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri pada pentadbiran sebelum ini dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang esok, selepas Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan pelantikannya ke jawatan itu.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu dibuat selaras dengan peruntukan di dalam Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan selepas Majlis Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, proses seterusnya selepas pelantikan itu ialah Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok, pukul 2.30 petang, di Istana Negara.

Selain itu, kata Ahmad Fadil, Seri Paduka menzahirkan pandangan, kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang amat terkesan ekoran ancaman wabak berkenaan.

“Seri Paduka menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut dapat dapat diakhiri dengan segera dan semua ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik ini demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka mengulangi pandangan, rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat juga diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya hari ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung petang tadi di Istana Negara, bagi membincangkan isu pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan Kabinet baharu selain menjadi proses akhir sebelum Seri Paduka menentukan pemimpin politik yang benar-benar layak serta mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menjadi ketua kerajaan baharu.

Semalam, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ahli Parlimen dari parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyokong Ismail Sabri, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri sebelum ini didakwa mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli Parlimen berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 sokongan wakil rakyat.

Muhyiddin dan seluruh Kabinet pada 16 Ogos lalu, telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan mereka.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu selaku Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembgaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Antara lain, titah Seri Paduka, Raja-Raja Melayu menyokong pendirian Seri Paduka kepada pembentukan kerajaan yang lebih stabil secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian mendalam.

Ia dilakukan menerusi surat akuan bersumpah (SD) dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan secara maya dengan setiap ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung dan diakhir segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

JAWATAN DALAM KERAJAAN:

2008-2009 : Menteri Belia dan Sukan
2009-2013 : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan
2013-2015 : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
2015-2018 : Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
2020-2021 : Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan)
2021: Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan

JAWATAN DALAM POLITIK:

1987 : Ahli Jawatankuasa UMNO Temerloh
1988 : Ketua Penerangan UMNO Temerloh
1993 : Ketua Pemuda UMNO Temerloh
2001 : Timbalan Ketuan Bahagian UMNO Temerloh
2004 : Ketua Bahagian UMNO Temerloh
2019 : Ketua Pembangkang
2018 hingga kini : Naib Presiden UMNO  

WAKIL RAKYAT :

2004 hingga kini : Ahli Parlimen Bera & Ketua Bahagian UMNO Bera 

, ,