31 Menteri, 37 timbalan menteri selesai angkat sumpah jawatan

Kesemua 31 menteri dan 37 timbalan menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin.

Antara terawal dilihat meninggalkan Istana Negara melalui Pintu 2 pada jam 4.43 petang ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diikuti Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Menteri terakhir keluar daripada Istana Negara ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu pada jam 4.59 petang.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia bermula pada 2.30 petang itu turut disaksikan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kesemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Istiadat Angkat Sumpah itu dimulakan dengan Istiadat Angkat sumpah itu dimulakan dengan tujuh anggota Jemaah Menteri iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kewangan: Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut berada dalam kumpulan tersebut ialah Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan.

Sesi kedua pula terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak), Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad juga berada dalam kumpulan tersebut.

Kumpulan ketiga terdiri daripada Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun; Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kumpulan keempat pula terdiri daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraidah Kamaruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sesi kelima terdiri daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Menyusul selepas itu ialah 37 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat berkenaan tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana perlu menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan juga tidak dapat hadir selepas beliau disahkan positif Covid-19.