114 Ahli Parlimen sokong Ismail Sabri menghadap Agong

Seramai 114 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lima sesi.

Dalam senarai yang diterima dan dilihat Utusan Malaysia, kumpulan pertama akan menghadap Seri Paduka pada pukul 10 pagi ini melibatkan 24 ahli Parlimen antaranya Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) selain Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Ini diikuti sesi pada pukul 11.10 pagi melibatkan 25 ahli Parlimen antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan).

Seterusnya sesi pada pukul 2 petang dengan 25 ahli Parlimen, antaranya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Rina Harun (Titiwangsa) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut).

Sesi pada pukul 3.10 petang pula melibatkan 22 ahli Parlimen manakala pada pukul 4.20 petang pula 18 ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang).

,