Mampukah Skuad Penyu gugat kedudukan Harimau Selatan?

Mampukah Terengganu FC (TFC) menyekat nafsu besar Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meneruskan rentak kemenangan kelima berturut-turut? Itu persoalan yang muncul selepas kedua-dua pasukan itu akan membuat perhitungan dalam aksi ke-10 Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.

TFC pasti sedar perlawanan itu adalah peluang terbaik mereka untuk menyekat momentum skuad Harimau Selatan daripada terus menjarakkan diri di kedudukan teratas liga. Berada lima mata di belakang JDT, peluang itu seharusnya perlu diambil skuad Penyu sekiranya mahu menghalang skuad Harimau Selatan daripada merangkul gelaran kelapan berturut-turut musim ini.

Namun, hakikat sebenar yang dihadapi skuad kendalian Nafuzi Zain ketika ini adalah mereka berdepan tugas getir kerana akan bertarung di ‘kandang’ keramat Harimau Selatan, gelanggang yang menggerunkan semua pasukan dalam Liga Malaysia.

Jika dilihat di atas kertas pun, segalanya memihak kepada JDT terutama anak buah Benjamin Mora ketika ini berada dalam prestasi cemerlang selepas merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan terakhir mereka. Malah, melihat kepada statistik jaringan juga, TFC memang patut berasa gerun apabila Harimau Selatan menjadi pasukan paling berbiasa di depan gawang dengan mengumpul 23 gol dalam sembilan perlawanan.

Ayam tambatan skuad Harimau Selatan, Bergson Da Silva sudah pasti perlu diberikan perhatian yang lebih oleh benteng TFC dek kerana kepakaran pemain Brazil itu mencipta jaringan dan dia kini berada di kedudukan teratas carta penjaring terbanyak dengan sembilan gol.

Bagi TFC, mereka bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim dengan motivasi yang agak baik selepas kembali ke landasan kemenangan dalam dua perlawanan terakhir liga.

Selain aksi JDT dan TFC, pertembungan Penang FC dan Sri Pahang di Stadium Bandaraya juga tidak kurang menariknya dengan skuad Harimau Kumbang tidak boleh melepaskan peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas.

Sri Pahang FC pula sudah pasti hadir dengan misi memburu kemenangan kedua musim dan berusaha untuk keluar dari zon penyingkiran. Sementara itu, UiTM FC yang akan menerima kunjungan PJ City FC di Stadium UiTM Shah Alam juga sangat terdesak untuk menamatkan kemarau kemenangan mereka musim ini.

Hanya mencatat satu seri dan tewas lapan kali adalah rekod yang tersasar jauh dari jangkaan awal UiTM yang mana mereka mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang musim lalu. – Foto BHOnline

Info
Rekod Pertemuan JDT-TFC
(dalam semua pertandingan)

September 2020 – TFC 0 JDT 1
September 2019 – JDT 4 TFC 1
September 2019 – TFC 0 JDT 1
Julai 2019 – JDT 3 TFC 3
Februari 2019 – TFC 2 JDT 2
Oktober 2018 – JDT 2 TFC 2
Oktober 2018 – TFC 1 JDT 0
Jun 2018 – JDT 2 TFC 0
Mac 2018 – TFC 0 JDT 1