Sultan Johor berangkat ke mesyuarat khas Raja-Raja

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat ke mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi milik baginda.

Tuanku dalam kenyataan berasingan memohon Doa agar perjalanan hari ini mendapat restu dari Allah s.w.t dan moga diberkati, dirahmati demi kebaikan semua.

Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu itu dijadualkan pada jam 2.30 petang ini.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz di Indera Mahkota, Kuantan.

Istana Negara menjadi tumpuan hari ini kerana Raja-Raja Melayu akan membincang dan memperincikan cadangan dikemukakan Mesyuarat Khas Kabinet berhubung isu-isu semasa.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dibentangkan Muhyiddin.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka.

Gambar: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.

Gambar: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

, ,