Juara lightweight dunia Khabib akhiri karier di puncak

Juara lightweight dunia Khabib Nurmagomedov mengumumkan persaraannya selepas mendedahkan dia berjanji kepada ibunya pertarungan dengan Justin Gaethje adalah yang terakhir buatnya.

Atlet Russia itu, yang memenangi pertarungan dengan teknikal knockout di pusingan kedua, bertarung buat kali pertama dan terakhir selepas kematian bapa yang juga jurulatihnya, Abdulmanap Julai lalu.

“Saya juara UFC unggul dan belum pernah ditewaskan dengan rekod 13-0 (dalam UFC) dan 29-0 keseluruhan dalam karier profesional MMA saya.

“Saya berjanji kepada ibu saya yang ini adalah pertarungan terakhir. Saya tidak mungkin akan ke sini lagi (gelanggang) tanpa bapa saya,” kata Khabib yang menitiskan air mata selepas kemenangan ke atas Gaethje.

Image

Seteru lamanya Conor McGregor dari Ireland antara orang pertama yang mengucapkan tahniah kepada atlet 32 tahun dari Russia itu.

“Saya akan meneruskannya. Hormat dan takziah sekali lagi di atas pemergian bapa anda, kepada anda dan keluarga. Yang benar, keluarga McGregor,” kata McGregor. – AFP

,