COVID-19: PKPB dilanjut hingga 9 Jun – PM

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia ini bermakna semua prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di bawah PKPB akan berkuat kuasa sehingga tarikh berkenaan.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 Mei hingga 12 Mei ini membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), selain orang ramai dibenarkan bergerak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Muhyiddin menegaskan, keputusan melanjutkan PKPB atas nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu, perjalanan rentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk berhari raya tidak dibenarkan sama sekali.

“Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan membabitkan pergerakan orang ramai iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya.

Walaupun Malaysia sudah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID-19, Perdana Menteri menegaskan, usaha itu belum berjaya sepenuhnya.

“Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga, saya dapati rata-rata rakyat mahu kerajaan terus mengambil langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya.

, ,