Christchurch: Jambangan bunga, Bendera dikibar separuh tiang tanda penghormatan

CHRISTCHURCH: Bangunan Sydney Opera House, Australia disinari dengan lampu berwarna perak seperti lambang New Zealand manakala bendera juga dikibarkan separuh tiang dan bunga diletakkan di depan masjid sebagai tanda sokongan kepada negara itu yang masih terkejut dengan serangan pengganas di bandar ini.

Itu adalah antara peringatan yang diadakan di Australia dan di seluruh dunia selepas serangan pengganas di dua masjid di Christchurch semalam yang menyebabkan 49 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Jambangan bunga diletakkan di depan masjid, bendera dikibar separuh tiang dan pada acara sukan pula pemain serta penonton bertafakur seketika sebagai tanda berkabung.

BENDERA Australia dikibarkan separuh tiang tanda sokongan di atas tragedi yang berlaku di Christchurch. FOTO Agensi

Seorang lelaki di Queensland meletakkan jambangan bunga di sebuah masjid berhampiran rumahnya kerana penduduk Islam di situ mungkin ketakutan dan dia mahu mereka tahu masyarakat melindungi mereka

Media sosial juga dipenuhi dengan gambar orang ramai melawat dan memberi penghormatan di masjid di seluruh dunia.

Jambangan bunga turut diletakkan di sebuah taman botani berhampiran hospital Christchurch lokasi kebanyakan mangsa yang cedera dirawat.

Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian dan pemimpin pembangkang negeri itu, Michael Daly hadir bersama beratus-ratus orang Islam yang bersolat di masjid Lakemba di barat daya Sydney pada malam semalam.

, ,