Pelumba Cub Prix, Hafiz Nor Azman meninggal dunia

Pelumba cub prix, Hafiz Nor Azman, 22, yang memenangi tempat keempat pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, hari ini, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir perlumbaan, di Dataran Bandar Penawar, dekat sini petang tadi.

Difahamkan, Hafiz, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi, dekat sini selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4 petang tadi.

Bapa mangsa yang juga bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas pelumba di hadapan anaknya terlanggar penghadang di tepi litar menyebabkan penghadang itu terkeluar ke tengah litar.

“Pada masa sama arwah tidak sempat mengelak menyebabkannya melanggar objek yang terpelanting keluar dari litar sehingga motosikalnya terjatuh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.

Nor Azman berkata, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan perlumbaan juga sudah hampir selesai.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Hafiz tidak sedarkan diri sebelum terus dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, rakan mangsa, Fakhrusy Syakirin, 22, berkata, kemalangan berlaku ketika pusingan terakhir daripada keseluruhan 20 pusingan perlumbaan itu.

“Saya hanya melihat kemalangan itu melalui video di tempat perlumbaan. Saya nampak dia jatuh dan bahu tersangkut pada pagar yang terbuka separuh yang menyebabkan dadanya terkena pagar.

“Motosikal dia juga terseret,” katanya.

, ,