RM82 juta bina 18 infrastruktur di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan perbelanjaan wang perkhidmatan kemajuan (ISF) sebanyak RM82 juta untuk pembangunan 18 projek infrastruktur di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandarnya, Amran A Rahman berkata, projek tersebut membabitkan pembinaan infrastruktur berimpak tinggi khusus memastikan kepentingan rakyat sentiasa dijaga.

“Semua infrastruktur ni merangkumi projek mengatasi bencana banjir, kesesakan lalu lintas dan prasarana untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan warga bandar raya Johor Bahru.

Kita jangka projek ini akan mengambil masa dalam dua tahun bermula tahun ini sehingga 2020 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bilangan 8 Tahun 2018 MBJB di Dewan Inai Merah Bangunan MBJB.

Amran berkata, daripada kesemua projek terbabit, dua daripadanya telah siap dan digunakan.

“Dua projek ini menaik taraf jalan dan sistem perparitan di kawasan Kempas Denai serta menaik taraf laluan Jalan Tropika dari Taman Perindustrian Cemerlang ke Taman Bukit Tropika,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, terdapat tujuh projek membabitkan kos sebanyak RM13.13 juta sedang dalam proses pembinaan.

“Projek ini antaranya termasuk menaik taraf Perpustakaan Sultan Ismail dan membina dewan terbuka di kawasan rumah pangsa Laman Tasik Pandan,” katanya

, ,