Johor terima 4 permohonan bina kilang IBS

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerima empat permohonan daripada pelabur tempatan dan asing bagi membina kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Johor.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata permohonan itu membabitkan jumlah pelaburan keseluruhan di antara RM2 bilion dan RM3 bilion bagi tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi paling sesuai untuk pelaksanaannya, selain mahu kemudahan ini terletak di lokasi yang berbeza seperti Kluang, Mersing dan Segamat kerana lapan IBS sedia ada tertumpu di Muar dan Johor Bahru.

“Sekiranya diluluskan, pelaburan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Permintaan terhadap produk IBS sangat tinggi terutama dari Singapura. Apabila saya mengadakan lawatan di kilang IBS, Forest City, saya dimaklumkan ada keperluan untuk dikembangkan berikutan tidak dapat menampung permintaan sedia ada.

“Permintaan tinggi daripada Singapura juga menunjukkan bahawa kualiti produk IBS yang dihasilkan di sini sudah diiktiraf, selain memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di Dewan Besar CIDB Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang dan Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Terdahulu dalam ucapannya, Osman berkata, penggunaan komponen IBS dapat mengawal pencemaran alam sekitar dan dipasang di lokasi projek pembinaan dengan penggunaan tenaga kerja yang minimum, selain banyak digunakan di negara membangun.

“Penggunaan IBS akan membantu meningkatkan kualiti bangunan, mengurangkan tenaga pekerja asing, selain mengurangkan kos pembinaan dan mempercepat kerja pembinaan,” katanya. -BH

 

, , , , , ,