Tubuh jawatankuasa kaji semula terma Forest City, Johor

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara di Putrajaya, turut kelihatan Timbalannya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. – Foto Mohd Fadli Hamzah

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dan menyemak semula terma dan syarat projek pembangunan Forest City, Johor.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata jawatankuasa itu akan disertai KPKT, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Johor selain beberapa pihak sekiranya diperlukan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan melihat semula segala terma perjanjian dan kelulusan projek berkenaan sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

“Kami juga akan memperhalusi kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berhubung larangan kepada warga asing untuk memiliki kediaman di Forest City.

“Malah, kami juga akan mengadakan pertemuan dengan pemaju projek berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-29, di sini hari ini.

Mesyuarat berlangsung di Bangunan Perdana Putra itu dipengerusikan oleh Dr Mahathir.

, ,