Senarai Kabinet sudah dimuktamadkan

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan baki senarai nama Kabinet kerajaan sudah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan pada upacara mengangkat sumpah.

Perdana Menteri, bagaimanapun, tidak menyatakan tarikh sebenar upacara mengangkat sumpah akan diadakan.

“Senarai penuh Kabinet sudah dimuktamadkan dan menunggu masa mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Hadir sama, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin dan Menteri Besar Johor yang juga Setiausaha PPBM Johor, Datuk Osman Sapian.

Dalam satu pekeliling media dikeluarkan Parlimen minggu lalu, satu taklimat khas akan diadakan untuk semua Ahli Parlimen pada 26 Jun.

Ini termasuk, sesi fotografi untuk kad keahlian baharu untuk Ahli Parlimen, susunan tempat duduk di dalam Dewan Rakyat serta prosedur dan prosiding Parlimen.

Terdahulu, dalam temu bual dengan Channel NewsAsia (CNA), Perdana Menteri berkata beliau sudah mengemukakan senarai nama penuh Kabinet Pakatan Harapan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengesahan Dr Mahathir ini menepis dakwaan kononnya wujud pertikaian dalaman PH yang menyaksikan senarai penuh Kabinet masih belum diumumkan.

Kabinet penuh dijangka terdiri daripada 29 menteri, kata Dr Mahathir kepada CNA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *