“Dasar, program tidak selari diteliti semula” – Osman

ISKANDAR PUTERI: Apa-apa dasar dan program kerajaan negeri terdahulu yang tidak selari dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan akan diteliti semula, kata Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Beliau juga berkata apa-apa program atau arahan cetusan idea pemimpin sebelum ini yang belum dilaksanakan perlu ditangguhkan memandangkan keutamaan Pakatan Harapan kini adalah untuk memenuhi manifesto pilihan raya yang dibuat kepada rakyat.

“Usaha ini akan dimulakan dengan sasaran melaksanakan 10 janji bagi 100 hari pertama kerajaan kita yang baru ini.

“Antaranya manifesto Pakatan Harapan untuk keluarga berpendapatan B40 (pendapatan isi rumah bawah RM4,380) di Johor iaitu memberikan 10 meter padu air secara percuma kepada kediaman di samping bekalan air berkualiti tanpa gangguan, melancarkan ‘Kad Sihat Johor’ bernilai RM500 setahun serta memberikan insentif bernilai RM1,000 kepada anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT),” kata beliau.

Osman berkata demikian ketika berucap di majlis perjumpaan dengan pegawai-pegawai tadbir negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata antara janji-janji lain termasuk memperkenalkan Skim Takaful Warga Emas dan Insentif Perkahwinan Kelompok, menaik taraf Johor sebagai hab makanan terulung dan menaik taraf rangkaian perkhidmatan awam dengan menumpukan kepada perkhidmatan bas, bas sekolah dan teksi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan mengikut jejak kerajaan persekutuan untuk tidak lagi menggunakan logo 1Malaysia di negeri ini.

“Di peringkat persekutuan, arahan telah diberikan supaya logo 1Malaysia tidak lagi digunakan pada baju korporat, sijil, bangunan dan lain-lain. Ia juga perlu diimplementasikan di peringkat negeri. Dengan adanya ‘Harapan Johor’, diharap akan membawa ideologi baharu kepada kita semua,” katanya.

Buat kakitangan awam negeri termasuk dari Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor pula, Osman berharap mereka dapat melaksanakan prinsip ‘serve the goverment of the day’ bagi memastikan segala dasar dan inisiatif kerajaan semasa, dapat dicapai.

“Sebagai satu entiti penting dalam pentadbiran kerajaan negeri, pegawai JCS perlu membantu kerajaan mencapai hasrat yang dirancang, seperti mana yang telah dibuat sebelum ini. Semua arahan bagi mencapai hasrat kerajaan perlu dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita kemudiannya, beliau menjelaskan janji Pakatan Harapan Johor untuk membina sebanyak 100,000 unit rumah mampu milik dalam jangka masa lima tahun tidak mengambil kira jumlah rumah yang telah siap dibina oleh kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan sebagai berkata pihaknya ingin melihat bagaimana Pakatan Harapan Johor akan menunaikan janjinya untuk membina rumah tersebut tanpa mengambil kira 60,000 unit yang telah dan sedang dalam proses pembinaan yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional.

Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.