Sister Sabria terima darjah DMIJ dari Sultan Johor

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Mulia Sultan Ibrahim Johor(DMIJ) kepada Puan Sabariah Binti Hussein yang membawa gelaran Datin Paduka.

Turut berangkat pada majlis istiadat pengurniaan darjah yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini (26 April) ialah DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Berangkat sama YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan suami kepada YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim, Encik Dennis Muhammad Abdullah.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah bahawa Baginda amat berbangga dan kagum dengan kerja-kerja amal yang dilakukan Sabariah, anak kelahiran negeri Johor yang kini menetap di Motreal, Kanada.

“Beliau merupakan contoh insan Islam berperibadi mulia dengan rela hati setiap hari memasak dan membantu menyediakan makanan untuk ratusan insan yang kurang bernasib baik termasuk golongan gelandangan, tanpa mengambilkira (atau menyoal tentang) agama, bangsa atau latarbelakang mereka.

“Usaha dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan beliau patut disanjung dan diteladani,” titah Tuanku Sultan Ibrahim.

Image may contain: 4 people, people smiling, people standing
Foto Ihsan Royal Press Office

Puan Sabariah, 71, atau lebih mesra dengan panggilan Sister Sabria, anak kelahiran Wadihana, Johor Bahru merupakan seorang sukarelawan yang kini menetap di Kanada.

Beliau melakukan kerja-kerja amal membantu gelandangan serta mereka yang kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun di Montreal, Kanada.

Puan Sabariah juga telah menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan pusat perlindungan wanita yang digelar “Our Second Home” dan sebahagian besar dana yang diperoleh beliau adalah daripada makanan yang dijual pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.

Beliau menetap di Kanada setelah berkahwin dengan suaminya yang merupakan rakyat tempatan selepas menamatkan pelajaran dalam bidang kulinari di Kuala Lumpur.

Pada majlis yang sama, Tuanku Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan darjah DMIJ yang membawa gelaran Dato’ kepada Pegawai Kewangan Negeri Johor, Haji A. Rahim Nin.

Image may contain: 7 people, people smiling, people standing
Foto Ihsan Royal Press Office
,

Leave a Reply

Your email address will not be published.