Jahit Jalur Gemilang gergasi

Kibaran Jalur Gemilang gergasi gah menghiasi bangunan SK Bandar Maharani Muar. – Foto SH

MUAR – Melintasi pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Maharani, di sini, pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja ketika melihat kibaran sehelai Jalur Gemilang gergasi yang gah menghiasi bangunan sekolah berkenaan.

Uniknya, Jalur Gemilang tersebut mempunyai saiz begitu besar dan SK Bandar Maharani menjadi satu-satunya sekolah di daerah ini mengibarkan bendera bersaiz besar berkenaan.

Guru besarnya, Asidah Talib berkata, bendera bersaiz 30 meter (m) lebar dan 5m tinggi itu dihasilkan warga SK Bandar Maharani sendiri yang terdiri daripada pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan mereka.

Menurutnya, penghasilan Jalur Gemilang bersaiz sedemikian adalah pertama kali dilaksanakan selepas beliau ditukarkan ke sekolah berkenaan sejak awal tahun ini.

“Saya menggunakan konsep menjahit bendera Malaysia kerana berpendapat kaedah ini boleh bantu meningkatkan semangat patriotik. Dengan aktiviti menjahit, mereka yang melaksanakan tugasan ini boleh mendapat fokus yang jelas di mana, ia sekali gus menanam nilai murni kemerdekaan.

Antara murid yang turut membantu menghasilkan Jalur Gemilang gergasi. – Foto SH

“Selain itu, yang lebih penting adalah semangat kerjasama. Kita mahu semua warga SK Bandar Maharani mampu bekerjasama terutama dalam penghasilan Jalur Gemilang ini.

“Meskipun tak semua murid terlibat, namun mereka juga diberi peluang mencuba aktiviti ini yang mana kerja berpasukan melibatkan semua guru dan murid dapat direalisasikan meskipun dalam usaha kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Ambil masa lima hari

Tambahnya, hanya lima hari masa diperlukan untuk mereka menyiapkan bendera yang memperuntukkan sehingga 60m kain putih dan 60m kain merah dengan dibantu seramai 38 guru serta murid.

“Mereka dah tahu tugasan masing-masing bila guru lelaki diberi tanggungjawab menggunting kain, manakala guru wanita pula ditugaskan menjahit. Murid pula bantu mana yang mudah dilakukan.

“Semua guru terlibat kerana tugasan ini tidak menetapkan mereka yang tertentu saja. Asalkan siapa yang mempunyai masa lapang terus saja sambung menjahit. Hasilnya, cuma lima hari saja Jalur Gemilang ni dapat disiapkan,” katanya ditemui di sekolah berkenaan, di sini.

Guru bekerjasama menjahit Jalur Gemilang yang disiapkan dalam tempoh lima hari. – Foto SH

Asidah berkata, dalam pada itu pihaknya turut merakamkan penghargaan apabila segala keperluan membuat Jalur Gemilang tersebut mendapat sumbangan Umno Bahagian Bakri.

Ujarnya, aktiviti menjahit itu adalah sebahagian daripada acara sambutan kemerdekaan yang dianjurkan mereka apabila pelbagai pertandingan dan persiapan kini sedang giat dilaksanakan.

“Sepanjang bulan kemerdekaan ini, kami menyediakan pelbagai pertandingan iaitu menyanyi lagu patriotik, poster dan kuiz sebagai meningkatkan pengetahuan murid terhadap sejarah.

“Alhamdulillah, perasaan gembira lahir apabila melihat murid kami yang terdiri seramai 550 orang begitu teruja dengan kibaran bendera Malaysia ni. Malah, murid sendiri tak henti-henti menceritakan kepada saya yang mereka begitu semangat dengan kemerdekaan tahun ini sebaik melihat Jalur Gemilang itu gah menghiasi sekolah kami,” katanya.

Jelas Asidah, bendera tersebut akan dipasang sepanjang bulan kemerdekaan iaitu sehingga 17 September nanti sebagai mencetuskan semangat patriotik kepada bukan sahaja warga SK Bandar Maharani, namun untuk semua masyarakat. – Sumber Sinar Harian